PENDAHULUAN
Ketokohan Saidatina Khadijah dijadikan sumber inspirasi dalam perjuangan, keilmuan Siti Aisyah dijadikan pembakar semangat untuk mengusai ilmu, kemuliaan Rabiatul Adawiyah dijadikan pedoman untuk sentiasa menjiwai sifat kehambaan dan ketabahan Sumaiyyah dijadikan ikutan untuk tegar menghadapi cabaran dan rintangan.
Barisan Serikandi Agung Islam inilah pencetus kepada perubahan dan kebangkitan muslimat muda untuk memperjuangkan ummah. Tekadnya, akan lahir pada abad ini dengan wajah kini, semangat yang baru dan versi yang semasa barisan pewaris kepada Serikandi Agung Islam silam.
Asasnya, muslimat muda yakin dengan matlamatnya maka perlu terus bergerak. Pokoknya, muslimat muda jelas akan peranannya maka perjuangan ini diteruskan dalam apa jua keadaan dan keupayaan. Biar bertatih mahupun berlari muslimat muda akan terus melangkah membawa misi ummah.
Muslimat muda yang entitinya adalah intelektual dan aktivis, akan lebih berjiwa besar seterusnya memandang maslahah ummah pada hari ini sebagai ’core business’. Memanfaatkan seoptima mungkin ruang dan peluang yang ada, muslimat muda akan membina diri, membela ummah dan memartabatkan Islam.
Justeru, membawa idealisma dan gerakan yang berteraskan Islam yang tulen menjadi tunjang muslimat muda dalam usahanya untuk mengislahkan ummah ke arah kema’rufan dan ketamadunan dari aspek akhlak, budaya dan fikrah.
RASIONAL
Pandangan masyarakat terhadap kedudukan wanita perlu diperbetulkan. Penjelasan mengenai hak wanita menurut pandangan Islam perlu diberikan penjelasan dengan sebaiknya agar idealisma gerakan-gerakan yang sering menyalah tafsirkan ayat al-Quran dan hadith ini dapat diperbetulkan dan dihapuskan.
Islam tidak pernah sekali-kali merendahkan kedudukan wanita, malah Islam telah meletakkan wanita ini pada tempat yang sangat sesuai dengan jiwa dan kemampuan kita. Inilah tanggungjawab kita sebagai gerakan muslimat muda. Dengan mengambil semangat gagasan MP3, laungan slogan MP3 akan sentiasa menemani kita dalam melakukan perubahan pada masyarakat.
Al-Quran dan hadith Nabi Muhammad s.a.w banyak menyebut tentang wanita, kepimpinan dan keteladanannya. Islam telah membela hak dan memuliakan wanita sama dengan kaum lelaki. Islam memberi hak untuk wanita menuntut ilmu, beramal ibadah, berusaha, berkhidmat dan berganding bahu bersama kaum lelaki sesuai dengan aturan dan nilai-nilai murni yang telah digariskan oleh Allah SWT.
Pada hari ini, masyarakat dihidangkan dengan pelbagai cabaran yang kadang-kadang menggugah Islam itu sendiri. Fahaman kebebasan yang dipelopori oleh wanita barat yang beranggapan bahawa kebebasan itu ialah kebebasan melakukan apa sahaja mengikut kehendak hawa nafsu mereka. Fahaman ini telah sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi wanita Islam dan tidak kurang juga ada yang bersetuju dengan perjuangan tersebut yang menuntut kebebasan dan hak yang sama rata dengan kaum lelaki.
Malahan ada yang sanggup mengatakan bahawa agama Islam adalah penghalang gerakan wanita dalam memanfaatkan potensi mereka bagi usaha pembangunan. Atas nama kemajuan dan pemodenan, banyak wanita Islam terus menerima pemikiran ini dan mempraktikkan budaya dan nilai hidup bebas sehingga mengabaikan peranan-peranan yang telah dikhususkan kepada mereka dan mencemarkan nilai kewanitaan yang ada pada mereka.
Muslimat memiliki peranan besar dalam membentuk masyarakat. Ini kerana awal pertumbuhan dan perkembangan sesuatu generasi berada di bawah asuhan dan didikan kita. Bagaimanapun dalam bidang kepimpinan tertinggi sesuatu bangsa atau negara, wanita Islam tidak diberikan hak untuk memegang jawatan tersebut. Ini bukanlah kerana taraf wanita itu dianggap lebih rendah daripada lelaki, tetapi kerana wanita secara tabi`inya mempunyai jiwa yang lembut dan emosi yang mudah mempengaruhi.
Meskipun muslimat tidak boleh memikul beban jawatan yang berat dalam mentadbir negara (imamat), tidak bermakna kita tidak berupaya memegang jawatan atau tanggungjawab lain yang tidak kurang pentingnya dalam membangun bangsa dan negara. Kitalah jurubicara ummah.
Suara-suara muslimat memberikan pendapat dan pandangan di peringkat nasional mahu pun antarabangsa sudah mula didengar dan kemampuan wanita menerajui pelbagai profesion telah diperakui dan setanding dengan kaum lelaki. Ini membuktikan bahawa wanita juga mempunyai kewibawaan dalam memberikan sumbangan terhadap pembangunan sesebuah negara.
Tinggalkan dahulu kenangan lama kita yang lebih suka bergerak kerja di belakang tabir kerana pada hari ini kita akan melakukan satu perubahan dalam gerakan bagi merubah masyarakat.Cukup-cukuplah kita menjadi pendengar dan penonton kepada gerakan feminisme seperti Sister in Islam (SIS) yang tegar memperjuangkan ISU gender dan kesamarataan antara hak wanita dan lelaki.
Jati diri wanita Islam yang telah turut tercalar dengan pengaruh perjuangan gender ala barat ini memerlukan perhatian masyarakat umat Islam untuk dibanteras sama sekali agar fahaman dan ideologi ini tidak terus-terusan menyesatkan masyarakat kita.
Maka, Srikandi Gerakan Muslimat Muda perlu bangkit untuk memainkan peranan dan tangunggjawab kita terhadap masyarakat. Dengan semangat sepasukan yang digembelengkan bersama bisa melahirkan satu gerakan yang berwibawa dan kental dalam menghadapi kritikan dan pandangan umum terhadap mahasiswi.
Biar tohmahan dan cacian yang dilemparkan, namun kita akan tetap terus memandang ke hadapan dan meneruskan langkah perjuangan kerana kita sangat-sangat diperlukan oleh masyarakat. Abaikan sebentar pandangan rendah mereka terhadap kita, tapi sahutlah ia sebagai satu cabaran untuk kita lebih berhati-hati dalam menyusun gerak langkah agar gerakan kita tidak nampak kalut dan lemah.
Perjuangan yang disertai ini adalah untuk sebuah kembara mencari kedaulatan buat Islam. Laksana pengembaraan Nabi saw bersama para sahabatnya membelah alam jahiliyyah memacu hijrah membina sebuah daulah. Segala rintangan dan halangan dihadapi dengan tabah. Sengsara dan deritanya didepani dengan sabar . Perit jerih atas segalanya menjadi ibadah yang ditekuni tanpa mengalah .
Ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara dari anasir yang merosakkannya . Semua anggota jamaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulen berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad saw atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi .
Ketulenan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skema amal tarbawi yang mantap melalui silibus am tinggalan baginda Rasul saw. dan diperkemas kini oleh ulama' al a'milin al mujahidin yang memimpin ummah .
KERTAS KERJA HALATUJU SIGMA
Dipetik dari :http://sigmakini.blogspot.com
Ikhlas Dariku,Serikandi islam
Friday, November 27, 2009
MUSLIMAT POWER!!MP3!!POWER3
Dila
0 comments:
Post a Comment